Enggan menyalahkan takdir atas apa yang berlaku, Zara atau nama sebenar, Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40, bersyukur apabila keadaan semakin baik selepas menjalani rawatan dan fisioterapi berterusan.
"Sejak Jun tahun lalu, saya sering keluar masuk wad untuk rawatan. Saya jalani pembedahan membuang ketumbuhan pada buah pinggang kiri dan ovari. Saya juga ada masalah tulang belakang, leher dan artritis.
Masalah kesihatan ini membuatkan saya sukar berdiri atau duduk terlalu lama. Alhamdulillah, selepas rawatan dan fisioterapi secara berterusan setiap bulan, keadaan saya bertambah baik.
"Cuma untuk penggambaran yang perlukan babak lasak atau tenaga berlebihan, saya kena berbincang dahulu dengan produser atau penulis skrip.
"Kalau mereka boleh berkompromi dengan keadaan saya, barulah saya teruskan," katanya kepada BH Online.
Bersikap positif atas apa yang beraku, pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian Anugerah Skrin 2019 itu melihat kesakitan yang dialami sebagai penghapus dosa.
"Suka atau tidak, saya kena hadap. Saya bersyukur sebab ujian ini mungkin cara Allah menghapuskan dosa-dosa saya.
"Saya anggap diri saya insan terpilih untuk lalui dugaan ini. Walaupun sukar, hikmahnya saya jadi lebih dekat dengan Tuhan," katanya.
Sementara itu, Zara berharap kesakitannya tidak berlarutan dan berdoa agar dapat kembali sihat demi meneruskan kerjaya lakonan.
"Saya harap dapat kembali aktif dalam industri seni kerana ramai yang masih perlukan saya.
"Peminat sentiasa menantikan drama terbaharu saya. Semangat mereka itu yang membuatkan saya terus kuat," katanya.
Pada Mei tahun lalu, Zara selamat menjalani pembedahan membuang cyst dan fibroid. Dia turut dirawat akibat masalah sakit tulang belakang atau sindrom lumbar facet.
Dua bulan kemudian, pelakon itu sekali lagi dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di sini, akibat jangkitan kuman pada bahagian yang dibedah.